MUNGKIN pada sesetengah orang, Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hanya satu lagi episod pilihan raya kecil yang biasa-biasa sahaja. Menang dan kalah adalah adat pertandingan. Walhal, sebenarnya natijah keputusan yang bakal dicapai sebenarnya adalah lebih besar dan jauh bermakna daripada angka tunjuk atau indikator yang tercipta.
Dengan mengambil kira komposisi kaum dan strategi parti lawan yang meletak calon yang berprofil tinggi, kita patut melihat ada percaturan besar di sebalik pilihan raya kecil itu. Tentu agendanya juga sangat besar kerana impak itu akan turut mewarnai pilihan raya yang lebih besar yang akan tiba dalam tempoh terdekat ini.
Sekiranya ini gagal ditafsir, dibaca dan diteliti oleh parti pemerintah dan hanya mendengar desakan dari parti komponen semata-mata, dikhuatiri kita bakal terjerumus ke dalam tragedi yang parah dan sukar untuk dipulihkan kembali.
Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil di Teluk Kemang bukan boleh disandarkan semata-mata dengan momokan sinis bahawa kepercayaan rakyat telah pulih. Ini kerana kredibiliti calon di pilihan raya berkenaan adalah berbeza dengan calon di Hulu Selangor. Itu sudah tidak boleh dijadikan analogi mudah lagi.
Perbandingan paling mudah kalau mahu dijadikan kayu pengukur adalah pilihan raya di Bukit Selambau, Sungai Petani. Itu adalah yang terbaik sekiranya mahu dijadikan perkiraan. Ini kerana situasi dan komposisi latar adalah lebih mirip. Maka bertitik tolak daripada perkiraan itu, sesiapa yang ingin kemenangan mesti memberi fokus terhadap kelemahan-kelemahan sewaktu menangani isu pilihan raya di sana.
Impak kekecewaan pengundi tidak boleh diambil mudah dengan hanya meniup slogan-slogan 1Malaysia. Kita juga tidak lagi boleh memaksa pengorbanan demi pengorbanan atas dasar setiakawan kerana setiakawan apakah yang pernah diperoleh oleh kumpulan majoriti diam selama ini? Apakah yang didapati oleh Kaum Melayu yang merupakan pengundi majoriti disitu? Apakah yang didapati oleh kaum Cina yang merupakan kelompok kaum pengundi yang terbesar disitu? Adakah dengan keadaan senario terkini dan komposisi sedemikian membenarkan BN membuat kesilapan memilih calun dari etnik yang terkecil untuk mewakilinya?
Adakah BN dah lupa yang pengundi Hulu selangor telahpun menolak calun dari MIC pada pilihanraya yang lepas? Bukankah sekiranya calun itu datang dari IPF , PPP atau Makkal Sakhti, ianya dapat memberikan impak yang lebih baik berbanding dengan calun MIC? Itupun sekiranya BN tetap ingin mempertaruhkan calun dari keturunan India di kawasan itu.
Pemerintah tidak boleh alpa pada satu hakikat bahawa kumpulan penentu kemenangan di kawasan ini tidak boleh dipastikan. Di sini, pengundi angkatan tentera dan polis tidak seramai mana. Sebaliknya, di Bandar Proton terdapat lebih daripada 2,500 pengundi yang berasal dari negeri Kelantan berdaftar.
Dengan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) yang begitu kabur hala tujunya dan dengan slogan 1Malaysia yang sudah dipanggang rangup oleh pembangkang di pelbagai saluran mereka, sudah tentu kerja meraih undi di sini bukan semudah perkiraan di atas meja.
Kita juga patut tahu, bahawa jentera parti pemerintah Selangor telahpun digerakkan ke arah menakluk semua pengundi-pengundi ini. Mereka ada beberapa strategi lain yang mungkin masih sulit, tetapi tentu ia amat ampuh dan merbahaya.
Kenyataan yang patut kita lihat dengan mata yang terbuka adalah siapakah calon yang layak bertanding mata ke mata dengan calon besar yang telah disogokkan mereka?
Jangan pula dipandang sinis kemampuan Datuk Zaid Ibrahim sebagai ahli politik, bekas menteri, peguam terkenal dan ahli perniagaan kaya raya. Bersama pakar strategi yang berdiri di belakangnya, adakah calon kecil yang bakal diketengahkan boleh menjamin air muka pemerintah negara?
Menabur janji dan projek bukan lagi strategi terbaik untuk menang. Kini, dengan kebijaksanaan dan keterbukaan informasi, sudah tidak ada yang rahsia. Maklumat pula sudah tidak boleh diputar belitkan. Kata-kata penceramah tidak lagi boleh stereotaip dan dalam bentuk gema semata-mata.
Paling ditakuti, malah perlu digeruni bahawa percaturan yang salah bakal menghantar signal yang silap sehingga rakyat menganggap suara mereka tidak berharga atau dihargai kerajaan lagi. Kata-kata bahawa pendapat akar umbi akan diambil kira sudah menjadi seperti satu retorik semata-mata. Akhirnya mereka akan berpaling tadah untuk mencari satu wadah perjuangan baru atau sekadar melampiaskan rasa marah semata-mata.
Contohnya permintaan dari akar umbi UMNO sendiri yang minta wakil UMNO dipilih sebagai calun sepatutnya janganlah dipandang remeh, dipandang rendah dan tidak dihargai oleh pucuk pimpinan BN yang sememangnya diketuai pucuk pimpinan UMNO sendiri. Impaknya amat-amat besar, kerana ianya memberi signal atau isyarat kepada ahli-ahli UMNO diseluruh negara, menyebabkan ahli-ahli UMNO seluruh negara hilang kepercayaan kepada UMNO!
Bayangkan. Bayangkan jika ahli-ahli UMNO hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin memimpin UMNO. Apa akan jadi? Ingatlah tuntutan yang dibuat baru-baru ini bukan hanya melibatkan ahli-ahli biasa UMNO tetapi terdiri dari ahli-ahli jawatankuasa cawangan, jawatan kuasa bahagian, naib ketua bahagian, bekas ketua bahagian UMNO dan sebagainya.
Jika permintaan mereka, orang kuat Umno sendiri ditolak, apa lagi harapan ahli-ahli UMNO diseluruh negara tehadap Najib dan Muhyiddin! Mungkin Muhyiddin masih boleh terselamat sekiranya beliau mengambil tindakan segera memperkukuhklan kedudukannya dalam UMNo tetapi jika terlambat, maka kedua-duanya akan ditolak oleh ahli-ahli UMNO diseluruh negara. Masa itu sudah terlambat untuk kedua-dua pemimpin ini menyelamatkan diri mereka.
Ingatlah, keputusan pilihan raya kecil tidak semestinya membawa riak yang kecil dan impak tidak seberapa. Tetapi, rentetan riak-riak kecil ini akan bersatu menjadi gelombang besar kekecewaan yang akhirnya menggulung menjadi tsunami besar terakhir yang akan memusnahkan legenda yang pernah kita cipta.
Ingat sebelum kena dan berjimat sebelum habis. Perhatikan pepatah ini supaya kita masih boleh mewariskan negara tercinta kepada generasi akan datang dengan megah dan bangganya dan bukan dikutuk sebagai pengkhianat yang memusnahkan peradaban selama lebih separuh abad.
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment